fb fb fb fb fb

Blackburn kembali ke zon play-off selepas tewaskan Preston

FOTO REUTERS

LONDON, 3 Februari- Blackburn Rovers kembali ke kelompok play-off Kejuaraan EFL selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Preston North End dalam aksi derbi Lancashire di Ewood Park, awal pagi Sabtu.

Gol menerusi tandukan Makhtar Gueye dan sepakan penalti Todd Cantwell memastikan tiga mata berharga buat Blackburn, sekali gus menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam liga.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-39 apabila Gueye menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol Preston, Freddie Woodman.

Cantwell kemudian menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-78 selepas Jack Whatmough didakwa mengasari Dom Hyam di dalam kotak penalti.

Preston merapatkan kedudukan menerusi jaringan Brad Potts pada masa kecederaan, namun Blackburn berjaya bertahan hingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian John Eustace melonjak dari tangga ketujuh ke tangga kelima liga menjelang aksi hujung minggu.

Manakala Preston, yang sebelum ini mencatat empat perlawanan tanpa kalah, kekal di tangga ke-15 selepas kekalahan di tangan Blackburn.

"Semangat juang pasukan jelas terpamer. Walaupun keletihan, para pemain tetap berusaha hingga ke akhir dan saya rasa kami benar-benar layak untuk menang," kata pengendali Blackburn, John Eustace, kepada Sky Sports.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE