RIO DE JANEIRO, 2 Februari- Bintang bola sepak Brazil, Neymar, secara rasmi menandatangani kontrak selama enam bulan bersama kelab lamanya, Santos, pada Jumaat.
Naib Presiden Santos, Fernando Bonavides, berkata pihak kelab akan berusaha untuk memastikan Neymar kekal lebih lama di kelab itu.
"Kontrak ini pada mulanya untuk tempoh enam bulan, tetapi sudah tentu kami akan melakukan yang terbaik agar dia terus bersama kami," katanya kepada Canal SporTV.
Menurutnya, kelab itu berharap Neymar dapat kekal sehingga Piala Dunia tahun depan.
Pemain berusia 32 tahun itu kembali ke Santos selepas hanya membuat tujuh penampilan bersama kelab Arab Saudi, Al Hilal, meskipun menerima gaji dilaporkan sekitar AS$104 juta setahun.
Neymar, penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, menyertai Al Hilal pada Ogos 2023, menyusuli langkah bintang bola sepak lain seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema ke rantau Teluk.
Namun, hanya dua bulan selepas tiba di Riyadh, Neymar mengalami kecederaan ligamen anterior (ACL) di lutut kiri ketika mewakili Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, yang menyebabkan dia terpaksa berehat selama setahun.
Cubaan untuk kembali ke padang turut terganggu apabila dia mengalami beberapa siri kecederaan hamstring dan lutut.
Bagaimanapun, Neymar kelihatan ceria ketika diperkenalkan kepada peminat dalam satu majlis khas di Estadio Urbano Caldeira, yang turut diserikan dengan persembahan daripada beberapa bintang muzik tempatan.-AFP