fb fb fb fb fb

KOM pantau prestasi Azeem

Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard /Foto KOM

KUALA LUMPUR, 30 Januari-Perkembangan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dipantau Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik menjelang kejohanan utama dunia tahun ini.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard berkata, beliau berpuas hati setakat ini dengan prestasi atlet berkenaan.

Menurutnya, Azeem kini sedang fokus dengan latihan bagi persiapan Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).

"Persiapannya dalam keadaan terbaik.Dia (Azeem) kini hampir menyamai catatan rekod terbaiknya.

"Saya gembira dengan perkembangan terkininya terutamanya prestasi pada kejohanan dalan dewan. Dia berjaya mencatatkan masa terbaiknya musim ini iaitu 6.67 saat pada Jumaat lepas", kata Ballard demikian ketika ditemui RTM di sini.

Beliau turut mendoakan agar atlet berkenaan dapat buat yang terbaik dan layak ke final NCAA.

Dalam pada itu Ballard, memaklumkan pihaknya belum pasti sama ada pemegang rekod 100 meter negara itu akan beraksi di Kejohanan Olahraga Asia pada Mei ini atau sebaliknya.

Sementara itu, pelari pecut 100 meter wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menyasarkan untuk mengesahkan slot di Sukan Sea Thailand Disember ini.

Atlet berusia 32 tahun itu mahu fokus dalam setiap latihan dan sentiasa menambah baik dalam teknik larian sebagai persiapan.

"Sudah tentu sasaran saya untuk 2025 ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan SEA selain melakukan catatan terbaik peribadi tahun ini", katanya.

Zaidatul berkata, dia perlu mengekalkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan untuk mengekalkan kedudukan dalam senarai atlet pelari pecut negara.

Ini kerana ramai pesaing bagi acara 100 meter.

Pada Oktober tahun lalu, Zaidatul berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter wanita iaitu 11.49 saat di Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD