MANCHESTER, 2 Februari- Manchester United melengkapkan pembelian pemain pertahanan Denmark, Patrick Dorgu dari Lecce pada Ahad dengan nilai perpindahan awal dilaporkan sekitar £25 juta (AS$37 juta).
Pemain berusia 20 tahun itu menyerlah dalam saingan Serie A sepanjang dua musim lalu, menjaringkan lima gol dalam 53 penampilan di liga utama Itali serta memiliki empat caps antarabangsa bersama Denmark.
Dorgu menjadi pemain pertama dibawa masuk dalam era pengurus baharu, Ruben Amorim dan dijangka mengisi kekurangan pilihan di bahagian kiri pasukan.
"Saya amat berbangga dapat menyertai Manchester United. Ini adalah hari yang sangat istimewa buat saya dan keluarga," katanya dalam kenyataan kelab.
"Saya tidak sabar untuk bekerja dengan Ruben Amorim. Visi beliau untuk pasukan dan masa depan kelab amat menarik.
"Terdapat perancangan jelas untuk pembangunan saya, dan saya yakin Manchester United adalah tempat terbaik untuk mencapai potensi dan impian saya."
United berdepan kekangan dalam menyokong Amorim sepenuhnya akibat keperluan mematuhi peraturan keuntungan dan kemampanan.
Namun, pengarah teknikal kelab, Jason Wilcox, yakin Dorgu adalah pemain yang sesuai dengan formasi pilihan Amorim, 3-4-3.
"Patrick adalah bakat yang menarik. Keupayaan bertahan dan menyerangnya yang mantap, serta keserbagunaan dan etika kerja, akan menjadikannya aset penting dalam pasukan Ruben Amorim," kata Wilcox.
"Pada usia 20 tahun, kami yakin dia akan terus berkembang bawah bimbingan pasukan kejurulatihan kami yang cemerlang."
United kini berharap dapat menambah dana dalam tempoh akhir jendela perpindahan yang bakal ditutup pada Isnin.
Marcus Rashford dikatakan hampir menyertai Aston Villa secara pinjaman, yang bakal mengurangkan beban gaji sekitar £300,000 seminggu.
Sementara itu, Alejandro Garnacho juga dikaitkan dengan Napoli, namun perpindahannya sebelum Isnin dijangka tidak akan berlaku.