fb fb fb fb fb

Piala Malaysia: 11,000 tiket sudah terjual untuk aksi Perak FC-JDT malam ini

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Bahang kehangatan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia malam ini antara pasukan Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh semakin terasa.

Kira-kira lebih 11,000 tiket telah terjual setakat semalam sejak jualan dibuka dua hari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, sambutan jualan tiket secara dalam talian amat memberangsangkan dengan 7,140 tiket terjual menerusi medium itu setakat ini.

Selebihnya secara fizikal dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat dengan kebanjiran kedua-dua penyokong pasukan bagi menyemarakkan lagi aksi berkenaan.

Beliau turut menyasarkan 25,000 tiket akan terjual kepada penyokong kedua-dua pasukan, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Sementara itu, beliau berkata meskipun Perak FC dianggap pasukan underdog, namun beliau menjangkakan Skuad The Bos Gaurus akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan menewaskan JDT.

Selepas perlawanan esok, pasukan itu dijadual berhadapan perlawanan timbal balik dengan pasukan Harimau Selatan pada 2 November depan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada itu, tindakan tegas akan diambil terhadap penyokong yang mencetuskan provokasi atau pergaduhan sepanjang aksi malam ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tiada diplomasi untuk kali ini dan mana-mana penyokong yang ditangkap atas kesalahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kawalan polis tertumpu dalam dan luar pekarangan stadium, selain pemeriksaan badan serta beg penonton akan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang alatan atau barangan terlarang dibawa masuk.

Yahaya Hassan turut menasihatkan para penyokong supaya hadir lebih awal ke stadium bagi mengelak sebarang kesulitan termasuk kesesakan lalu lintas.

rtm
(Foto fail)

Media Baharu