MIAMI, 24 Jun – Kelab bola sepak Palmeiras melakar aksi dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan Inter Miami 2-2 sekali gus menamatkan saingan Kumpulan A di tangga teratas dan layak ke pusingan 16 terbaik Kejohanan Piala Dunia Kelab 2025.
Inter Miami mendahului hasil jaringan Tadeo Allende dan Luis Suarez sebelum Palmeiras menyamakan kedudukan menerusi jaringan Paulinho dan Mauricio pada 10 minit terakhir perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip lima mata, namun Palmeiras muncul juara kumpulan menerusi kelebihan perbezaan jaringan. Al-Ahly dan Porto pula tersingkir selepas seri 4-4 dalam satu lagi aksi kumpulan.
Inter Miami dijadual bertemu juara Eropah, Paris Saint-Germain, manakala Palmeiras bakal berdepan seteru utama dari Brazil, Botafogo bagi merebut slot ke suku akhir.
Inter Miami menjadi satu-satunya wakil Major League Soccer (MLS) yang layak ke peringkat kalah mati selepas LAFC dan Seattle Sounders tersingkir lebih awal.