FRANKFURT, 24 Jun - Kejohanan Bola Sepak Wanita Eropah yang bakal berlangsung di Switzerland dijangka mencatat rekod kehadiran penonton, menurut badan pengelola UEFA.
UEFA memberitahu Agensi Berita Jerman (dpa), sebanyak 570,000 daripada 673,000 tiket bagi kejohanan yang berlangsung dari 2 hingga 27 Julai terjual dan masih berbaki 32,000 tiket untuk peminat pasukan yang layak ke peringkat kalah mati.
Rekod kehadiran penonton kejohanan Euro wanita kini adalah 574,875, dicatatkan pada edisi 2022 di England.
Penganjur Switzerland dan UEFA berharap dapat menjual tiket bagi 31 perlawanan kejohanan tahun ini. Menurut UEFA, minat terbesar penyokong adalah dari tuan rumah Switzerland, Jerman dan England.
Kejohanan akan bermula Rabu dengan perlawanan Iceland menentang Finland di Thun dan Switzerland menentang Norway di Basel.
Perlawanan akhir juga dijadualkan berlangsung di Basel, di stadium terbesar di St Jakob Park yang dapat memuatkan 34,250 penonton. Stadium terkecil daripada lapan stadium ialah di Sion dan Thun dengan kapasiti masing-masing 7,750 dan 8,100 penonton.-BERNAMA