JOHOR BAHRU, 27 Oktober- Pasukan Hoki Remaja Kebangsaan, tewas 2-3 kepada New Zealand, dalam aksi pembukaan Piala Hoki Sultan Johor 2023, malam tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru menyaksikan pemain Malaysia menunjukkan perkembangan positif, melakukan banyak serangan terhadap pasukan lawan meskipun tewas.
New Zealand membuka langkah kanan perlawanan, menyumbat gol pada minit ke-6, hasil jaringan Luke Aldred.
Pasukan negara menyamakan kedudukan selang satu minit kemudian, hasil jaringan Faris Harizan, sebelum skuad Kiwi kembali mendahului pada minit ke-15, menerusi jaringan Scott Cosslett.
Faris Harizan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-24, namun jaringan James Hickson pada minit-33 menoktahkan kemenangan buat New Zealand.
Ketua Jurulatih Malaysia, Muhamad Amin Rahim berkata pasukan negara akan menilai prestasi perlawanan tersebut, bagi mempersiapkan diri untuk menentang India dan Pakistan.
"Saya dapat kesan kita punya 'injector' ada sedikit kurang dan perlu diperbaiki. Saya yakin jika kekurangan ini dapat ditutup, kita mampu untuk buat lebih baik dan kita boleh menang," kata Amin kepada pemberita
Malaysia akan menentang India, dalam aksi kedua piala pukul 8.35 malam, esok.