fb fb fb fb fb

Piala Emas CONCACAF : Jamaica ke separuh akhir

(FOTO AFP)

MIAMI, 10 Julai - Jaringan tunggal oleh Amari'i Bell sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan Jamaica ke separuh akhir kejohanan apabila menewaskan Guatemala 1-0.

Pada perlawanan yang berlangsung di TQL Stadium di Cincinnati itu, Guatemala dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan serangan-serangan bertali arus ke kubu Jamaica.

Guatemala hampir di depan pada minit ke-6 perlawanan, namun rembatan lemah penyerang Rubio Rubin tepat ke dakapan penjaga gol Jamaica, Andre Blake.

Guatemala sekali lagi menghadirkan ancaman buat Jamaica, namun rembatan oleh pemain pertahanannya, Aaron Herrera pada minit ke-19 melambung tinggi melepasi palang gol.

Jamaica kembali memperkemaskan permainan dan berhasil menjaringkan gol pada minit ke-51 hasil jaringan Amari'i Bell yang berjaya menolak masuk bola hantaran Demarai Gray.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat permainan.

Sementara itu, penjaring gol, Amari'i Bell menyifatkan kemenangan tersebut membakar semangat rakan sepasukannya pada perlawanan separuh akhir nanti.

"Sesuatu yang sangat menggembirakan apabila dapat mara ke separuh akhir. Kami tidak akan berhenti sehingga kami memenangi kejohanan ini", kata Bell.

Pasukan yang digelar 'The Raggae Boyz mara ke separuh akhir kejohanan buat kali keempat penampilan dan mampu mara ke final buat kali pertama sejak 2017.

Pasukan Jamaica bakal bertemu Mexico pada perlawanan separuh akhir pada Ahad ini.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu