fb fb fb fb fb

Piala Dunia Wanita: Filipina kejutkan New Zealand

(FOTO AFP)

WELLINGTON, 25 Julai - Skuad wanita Filipina mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan tuan rumah, New Zealand 1-0 pada kejohanan Piala Dunia Wanita yang dilangsungkan di sini.

Pada perlawanan itu, pasukan Filipina berjaya memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi tandukan Sarina Bolden pada separuh masa pertama.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan bersejarah buat Filipina sama ada buat pasukan lelaki dan wanita berkenaan pada Piala Dunia sekali gus persaingan buat kumpulan A terbuka luas.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di hadapan lebih 32,000 penyokong tuan rumah, Filipina berjaya membuka jaringan pada minit ke-24.

Tersentak dengan jaringan tersebut, New Zealand kembali memperkemaskan permainan dan serangan ke kubu pertahanan Filipina.

Jurulatih New Zealand, Jitka Klimkova memasukkan pemain tengah, Olivia Chance dan pemain veteran, Annalie Longo bagi menambah sengat serangan New Zealand pada separuh masa kedua.

Percaturan tersebut hampir-hampir membuahkan hasil apabila penyerang, Hannah Wilkinson hampir-hampir menyamakan kedudukan, namun tandukannya melepasi palang gol Filipina.

Ketika permainan berbaki 20 minit, penyerang New Zealand, Jacqui Hand merembat masuk gol penyamaan, namun dibatalkan pengadil selepas ulang tayang semula menyaksikan bola tersebut keluar daripada kawasan permainan terlebih dahulu.

New Zealand menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan, namun gagal menembusi gawang Filipina yang bertahan sehingga ke akhir perlawanan.

Sementara itu,pemain tengah Filipina, Sara Eggesvik berkata kemenangan tersebut merupakan satu kejutan dan motivasi bagi Filipina untuk mara lebih jauh dalam kejohanan Piala Dunia kali ini.

"Saya tidak percaya apa yang pasukan kami capai.

"Kejayaan menewaskan New Zealand memberi motivasi buat pemain untuk berusaha mencipta kejutan pada kejohanan ini", Sara Eggesvik.

Dalam pada itu, Jurulatih New Zealand, Jitka Klimkova melahirkan rasa kecewa dengan kekalahan tersebut dan menyifatkan anak-anak buahnya telah melakukan sedaya-upaya bagi memenangi perlawanan itu.

"Kekalahan ini sesuatu yang menyakitkan buat pasukan.

"Kami bermain untuk menang.Tetapi ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.

"Kami berjuang berhabis-habisan. Tetapi ia masih tidak cukup", kata Klimkova.

New Zealand bakal bertemu Switzerland pada Ahad, manakala Filipina bertemu Norway pada perlawan terakhir peringkat kumpulan -AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu