fb fb fb fb fb

Nik Safuan Ismade kembali latih skuad Bunga Raya 7s

(Nik Safuan Ismade Nik Man)

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Bekas pemain negara, Nik Safuan Ismade Nik Man kembali dilantik selaku ketua jurulatih pasukan ragbi lelaki 7 sebelah kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) pemilihan Nik Safuan, 42, dibuat selepas penilaian secara menyeluruh dilakukan dan dilihat sebagai calon terbaik bagi mengendalikan pasukan Bunga Raya 7s.

Badan induk tersebut turut memaklumkan pemilihan Nik Safuan dibuat selepas Mesyuarat Exco KRM bersama bahagian kejurulatihan dan prestasi tinggi.

"Pemilihan Nik Safuan ini berdasarkan pengalaman luasnya sebagai jurulatih di peringkat kelab dan kebangsaan serta mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf oleh badan induk Ragbi Dunia (World Rugby) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Antaranya World Rugby Level 2 7s, World Rugby Level 3 15s dan MSN Sports Sciences Level 3," kata kenyataan itu.

KRM memaklumkan tugasan pertama Nik Safuan adalah mempersiapkan skuad negara bagi menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.

Nik Safuan pernah dilantik sebagai ketua jurulatih lelaki 7s bagi tahun 2015 dan 2016 sebelum membimbing pasukan wanita 7s kebangsaan bermula 2016-2021.

Antara kejayaan yang pernah diraih beliau sebagai jurulatih ialah membawa pulang pingat perak Sukan SEA 2015, pingat gangsa Sukan SEA 2017 dan 2019.


(Nik Safuan Ismade Nik Man (kanan) dipilih sebagai ketua jurulatih baharu skuad ragbi lelaki 7 sebelah kebangsaan/ Foto KRM) 

Media Baharu