fb fb fb fb fb

Piala Dunia Wanita 2023: Jepun melangkah ke pusingan 16 terbaik

(FOTO AFP)

DUNEDIN, 26 Julai -Jepun menempah tiket ke pusingan 16, selepas menewaskan Costa Rica 2-0 pada pertembungan peringkat kumpulan C Piala Dunia Wanita 2023 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Dunedin pada Rabu.

Pada perlawanan itu, pasukan Jepun, pemenang Piala Dunia 2011 itu melancarkan asakan bertali arus ke kubu Costa Rica sebaik sahaja wisel permainan ditiup.

Asakan demi asakan akhirnya membuahkan hasil apabila pasukan yang digelar 'Nadeshiko' itu berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 hasil rembatan kencang Hikaru Naomoto yang gagal ditampan oleh penjaga gol Costa Rica, D.Solera.

Dua minit kemudian, Jepun menggandakan jaringan gol menerusi percubaan Aoba Fujino yang melepaskan rembatan setelah memperdayakan beberapa pertahanan Costa Rica.

Jepun hampir-hampir menambah jaringan ketiga, namun rembatan M. Tanaka tinggi melepasi palang gol pada minit-minit akhir separuh masa pertama.

Bersambung ke babak kedua, Jepun terus mengasak pintu gol Costa Rica bagi mencari lebih banyak gol namun hampa.

Costa Rica yang ketinggalan cuba bangkit dengan percubaan terbaik menerusi pemain gantian, Gloriana Villalobos namun percubaan lemahnya berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Jepun, A. Yamashita.

Jepun kini mendahului kedudukan kumpulan C dengan enam mata hasil dua kemenangan, manakala Costa Rica berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Jepun bakal bertemu Sepanyol pada perlawanan terakhir Isnin ini manakala Costa Rica pula bertemu Zambia-REUTERS


(FOTO AFP)

Media Baharu