BUKIT JALIL, 9 September- Skuad hoki negara berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India pada 13 hingga 29 Januari depan.
Perkara itu diakui Ketua Jurulatih, A. Arulselvaraj selepas Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama juara dunia tiga kali, Belanda; naib juara benua Amerika Selatan, Chile dan gergasi Oceania, New Zealand dalam undian.
Beliau optimis, skuad negara berpeluang cerah mencatat kemenangan ke atas Chile dan New Zealand.
Namun, cabaran utama The Speedy Tigers hadir pada pertemuan dengan pasukan pilihan, Belanda.
"Perlawanan-perlawanan persahabatan akan kita dapat pada jelajah Eropah dan juga di kejohanan Piala Azlan Shah, kita kena keluar untuk memenanginya.
Secara realistik, kita kena menang dengan New Zealand dan Chile, manakala permainan dengan Holand kita kena bermain dengan lebih bijak," katanya.
(A. Arulselvaraj, Ketua Jurulatih)
Sementara itu, dua pasukan pilihan, Australia dan Argentina diundi dalam Kumpulan A bersama Perancis dan Afrika Selatan.
Juara bertahan, Belgium pula diundi dalam Kumpulan B bersama Jerman serta dua lagi wakil Asia iaitu Korea Selatan serta Jepun.
Manakala tuan rumah, India akan menghadapi cabaran tiga pasukan Eropah iaitu England, Sepanyol dan Wales.