fb fb fb fb fb

Piala Dunia: Southgate kecewa benteng pertahanan rapuh, perkemas posisi sebelum bertemu AS

(FOTO FAIL AFP)

DOHA, 23 November - Ketua jurulatih England, Gareth Southgate memuji aksi anak buahnya yang berjaya membelasah Iran 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Qatar, kelmarin.

Bagaimanapun Southgate mengakui pasukannya perlu memperbaiki kelemahan di benteng pertahanan sebelum turun bertemu Amerika Syarikat (AS), Sabtu ini.

Dalam aksi tersebut, England mencatat kemenangan pertama menerusi dua jaringan Bukayo Saka dan satu jaringan masing-masing oleh Jude Bellingham, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jack Grealish.

Namun, dua gol Iran menerusi Mehdi Taremi membuatkan Southgate sedikit kecewa tentang kerapuhan benteng pertahanan mereka.

(Gareth Southgate / FOTO AFP)

"Semestinya kami gembira kerana memulakan kejohanan ini dengan kemenangan dan kami juga puas hati dengan cara kami menyerang. Kami tahu Iran pasukan yang sukar ditembusi, jadi pujian harus diberi kepada pemain kami.

"Namun, saya juga tidak gembira apabila kami bolos dua gol dengan cara yang tidak sepatutnya. Kami perlu perkemaskan lagi posisi ini dengan lebih baik dan juga beberapa aspek lain sebelum bertemu Amerika Syarikat," kata Southgate.

Keputusan itu menyaksikan England yang mara ke separuh akhir pada edisi 2018 di Rusia, kini medahului Kumpulan B dengan 3 mata.

The Three Lions akan berdepan Amerika Syarikat (AS), awal pagi Sabtu ini selepas pasukan Amerika Tengah itu seri 1 sama dengan Wales.-AFP

Media Baharu