KUALA NERUS, 22 November- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap berbangga dengan pencapaian skuadnya musim ini walaupun misi untuk menjulang Piala Malaysia terkandas di peringkat separuh akhir.
Menurut pengendali muda berusia 44 tahun itu, anak buahnya telah berjuang habis-habisan untuk memastikan TFC mara ke pentas akhir, namun tuah ternyata tidak menyebelahi skuad Penyu selepas tewas dengan agregat 2-3 di tangan Selangor FC.
Kekalahan itu katanya turut membantutkan hasrat TFC untuk melakar rekod yang lebih cemerlang musim ini selepas merangkul gelaran naib juara Piala FA, kedudukan kedua Liga Super dan bakal beraksi di pentas bola sepak antarabangsa, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.
"Kami telah mencuba sehabis baik untuk mara ke final sebagai hadiah terakhir buat penyokong. Tetapi kita terpaksa akur dengan kualiti pasukan lawan.
"Terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa bersama saya dari awal hingga akhir, tidak kira dalam apa jua keadaan menang atau kalah," katanya pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.
Pada perlawanan itu TFC berjaya menundukkan skuad The Red The Giants dengan keputusan 1-0 menerusi gol Kipre Tchetche pada minit ke-35, namun gagal layak ke final selepas ketinggalan dengan agregat 2-3.
Menurut Nafuzi, beliau juga berasa sedikit terkilan kerana gagal membawa TFC ke pentas final Piala Malaysia pada tahun terakhirnya di bumi Darul Iman.
"Saya akan merindui Terengganu, meninggalkan mereka semua selepas tujuh tahun bukan sesuatu yang mudah, tapi saya terpaksa demi memajukan karier," katanya yang masih belum mendedahkan hala tujunya musim depan.
Sementara itu, pengendali berpengalaman Selangor, Tan Cheng Hoe berkata skuadnya akan melakukan persiapan rapi untuk menghadapi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di perlawanan akhir pada 26 November ini.
Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain
Beliau yang pernah melatih pasukan kebangsaan berkata walaupun laluannya kelihatan sukar, skuad The Red Giants akan cuba memberi persembahan terbaik dalam misi menjulang kejuaraan selepas kali terakhir Selangor memenangi piala berprestij itu pada 2015.
"Kita sedar JDT dah banyak menang piala dan prestasi mereka cukup konsisten.
"Tetapi saya masih menaruh harapan untuk menang. Dalam perlawanan akhir apa sahaja boleh jadi, yang penting setiap pemain perlu fokus menentang JDT," katanya. -BERNAMA