KUALA LUMPUR, 19 Mac -Pemain apit kanan Negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin akan berusaha untuk memastikan Malaysia berupaya meraih pingat emas pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw pada Mei depan.
"Fokus dulu satu per satu setiap kategori, jadi nak dapatkan emas Insya-Allah kami akan usaha sehabis baik demi negara dan keluarga sebab kami dah banyak berkorban masa untuk negara pergi ke kem latihan di Ulu Kinta serba sedikit dari situ kami boleh ketahui keupayaan pasukan", kata Noraizat ketika ditemui media di sini.
Ketika ini 21 negara telah mengesahkan slot untuk menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 18 hingga 26 Mei ini.
Dalam perkembangan sama, pemain muda apit kanan negara, Muhammad Redwan Hakim Muhammad mahu memanfaatkan peluang bersama pasukan kebangsaan untuk melakar kecemerlangan pada kejohanan berprestij itu.
"Panggilan ketiga ni buatkan rasa nak tunjukkan yang saya mampu bersaing dengan pemain pemain senior yang ada lagi satu kita tahu Piala Dunia ini kali pertama Malaysia anjurkan, jadi, ini peluang emas saya untuk kembali ke kem kebangsaan", kata Redwan.
Dalam pada itu, pemain tersebut turut menegaskan tidak mahu merendah diri biarpun posisi selaku "Killer" dibarisi ramai pemain senior yang berpengalaman.