fb fb fb fb fb

LTdL 2024 :Langkawi, Sarawak disenaraikan kembali

Langkawi dan Sarawak disenaraikan kembali dalam laluan LTDL 2024/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Mac - Saingan musim ini lebih menarik apabila Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan 2024 yang turut menyaksikan dua peringkat berlangsung di Sarawak.

Perlumbaan Edisi Ke-28 itu dijadual bermula 29 September hingga 6 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata perlumbaan berbasikal berprestij di benua Asia itu buat kali pertama akan melibatkan laluan di Miri dan Bintulu, Sarawak.

"Pemilihan dua peringkat di Sarawak adalah untuk membawa perlumbaan berprestij ini dinikmati oleh rakyat Miri serta Bintulu dan sebelum ini LTdL pernah berlangsung di Kuching pada tahun 2020," katanya ketika sidang selepas Majlis Pelancaran Logo dan Laluan LTdL 2024 di MSN di sini, pada Isnin.

Dalam saingan musim ini keseluruhan 11 negeri kecuali Kelantan, Terengganu dan Sabah akan menjadi hos pelepasan dan penamat untuk perlumbaan itu yang memasuki tahun kedua dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Pasukan dan pelumba dari Kazakhstan, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Switzerland, Australia, China, Indonesia dan Jepun turut dijangka mengambil bahagian, bagaimanapun pengesahan penyertaan adalah pada Ogos ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD