fb fb fb fb fb

Piala Dunia Ragbi Wanita: New Zealand, Kanada mara ke separuh akhir

Foto AFP

EXETER, 14 September – Juara bertahan New Zealand bangkit selepas terikat pada separuh masa pertama untuk menewaskan Afrika Selatan 46-17 dalam aksi suku akhir Piala Dunia Ragbi Wanita di Sandy Park.

Afrika Selatan bermula cemerlang mengikat kedudukan 10-10 menjelang rehat.

Namun, Black Ferns segera mengubah rentak permainan sebaik separuh masa kedua bermula dan meledak tiga try dalam tempoh tujuh minit untuk mematikan cabaran lawan.

Pemain remaja sensasi New Zealand, Braxton Sorensen-McGee mencuri tumpuan dengan dua try, diikuti Renee Holmes dan Kaipo Olsen-Baker yang turut menyumbang dua try masing-masing.

Theresa Setefano dan Katelyn Vahaakolo melengkapkan kemenangan besar New Zealand

Afrika Selatan, yang pertama kali mara ke suku akhir Piala Dunia, memperoleh try menerusi Babalwa Latsha, Aphiwe Ngwevu dan Lerato Makua.

Sementara itu, Kanada turut mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menundukkan Australia 46-5 di Ashton Gate.

Pasukan Maple Leaf meledak lima try di babak pertama menerusi Alysha Corrigan (2), Asia Hogan-Rochester, Sophie de Goede dan McKinley Hunt sebelum menambah dua lagi jaringan melalui Fabiola Forteza dan Karen Paquin pada separuh masa kedua.

Kanada yang tampil mantap di barisan pertahanan dan di bahagian serangan dilihat mampu memberi tentangan sengit kepada New Zealand pada aksi separuh akhir. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD