fb fb fb fb fb

Piala Dunia Qatar: Sepanyol belasah Cost Rica 7-0

(FOTO AFP)

DOHA, 24 November- Sepanyol membelasah Costa Rica 7-0 pada aksi Kumpulan E yang berakhir awal pagi tadi.

Mengelak daripada mengalami nasib seperti Argentina dan Jerman, pasukan kendalian Luis Enrique tampak begitu bersinar di Stadium Al Thumama Doha, dengan menguasai perlawanan sejak awal dan mengambil peluang tanpa belas kasihan.

Hanya 11 minit  masa diambil La Roja untuk membuka jaringan, menerusi Dani Olmo pada minit ke-11, sebelum Marco Asensio menggandakan kedudukan 10 minit kemudian.

Ferran Torres memastikan kedudukan selesa buat skuad La Roja apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31.

Sepanyol turut mencatat rekod baharu sebagai pasukan pertama sejak tahun 1966 melengkapkan lebih 500 hantaran (537) sepanjang babak pertama.

Bersambung babak kedua, Torres menambah jaringan untuk skuad kendalian Luis Enrique pada minit ke-54 dengan gerakan solo dalam kotak penalti Costa Rica.

Sepanyol terus menghukum benteng Costa Rica apabila Gavi yang berusia 18 tahun 110 hari, menjadi pemain ketiga termuda menjaringkan gol di Piala Dunia selepas Pele (17 tahun 249 hari) dan Manuel Rosas (18 tahun 99 hari).

Derita Costa Rica tidak berakhir di situ apabila dua gol lagi dijaringkan menerusi Carlos Soler dan Alvaro Morata pada minit ke-90 dan 92.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sepanyol kini mendahului kumpulan bersama Jepun yang mengejutkan Jerman 2-1 pada aksi sebelum itu.


(FOTO AFP)

Media Baharu