fb fb fb fb fb

Piala AFF: Lee Tuck, Sergio Aguero dipanggil sertai latihan pusat Harimau Malaya

(Senarai 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaysia / Foto FAM)

KUALA LUMPUR, 24 November- Pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero menjadi antara 29 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih Kim Pan Gon sebagai persiapan menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022. 

Menerusi kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuck dan Aguero masing-masing mewakili pasukan Sri Pahang FC akan menyertai kem itu bermula Selasa depan.

Harimau Malaya akan turun beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai persiapan menjelang Piala  AFF kali ini.

Menurut kenyataan itu, Pan Gon kemudian akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022.

Bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon (21 Disember), Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari). 

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6 atau 7 Januari dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final secara timbal balik pula dijadualkan pada 13 dan 16 Januari depan. 

Terdahulu, FAM menerusi senarai awal menyenaraikan 41 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat namun selepas perbincangan dan persetujuan bersama yang dicapai di antara FAM, Pan Gon dan kelab-kelab terlibat, 12 pemain tidak dapat menyertai kem latihan itu atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Antaranya pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Matthew Davies. 

FAM menerusi kenyataan sama merakamkan ucapan terima kasih kepada para pemain yang sudi menerima panggilan skuad kebangsaan bagi kem latihan kali ini, biarpun ia di luar jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pada penghujung musim bola sepak yang panjang.

"FAM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kelab yang terlibat atas kelulusan mereka untuk melepaskan pemain masing-masing, sekali gus memberi peluang kepada pemain terbabit menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada Piala AFF 2022 ini," menurut kenyataan itu. -BERNAMA


(FOTO SRI PAHANG FC)

Media Baharu