(Kaunter penjualan tiket berhampiran pasar Souq Waqif di Doha bagi
kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022./IHSAN FIFA)
DOHA, 21 November- Hampir tiga juta tiket Piala Dunia Qatar 2022 sudah dijual, dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan temasya itu membantu melonjakkan pendapatan mereka sejak empat tahun lalu kepada AS$7.5 bilion (RM34.3 bilion).
Jurucakap FIFA memberitahu AFP bahawa 2.95 juta tiket sudah dijual sehingga hari perasmian, malam tadi.
Pembukaan Piala Dunia jelas membawa kepada lonjakan peminat untuk menyaksikan 64 perlawanan sepanjang 29 hari walaupun publisiti negatif terhadap Qatar selaku tuan rumah.
Peminat dilihat berbaris di luar pusat tiket FIFA di Doha dan ada yang merungut terpaksa menunggu lama untuk memasuki platform jualan tiket dalam talian.
(Antara persembahan dalam acara pembukaan Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar/IHSAN FIFA)
Jurucakap itu berkata, Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Mexico, Britain, Emiriah Arab Bersatu, Argentina, Perancis, India dan Brazil adalah antara negara tertinggi membeli tiket.
Presiden FIFA, Gianni Infantino memberitahu ketika persidangan sebelum ini bahawa pendapatan empat tahun badan dunia itu dianggarkan mencecah RM34.3 bilion menjelang akhir tahun.
Pendapatan yang diraih itu adalah AS$1 bilion (RM4.5 bilion) lebih tinggi daripada yang diramalkan empat tahun lalu. - AFP