fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kelab: Inter Miami curi tumpuan menjelang aksi pembukaan

FOTO REUTERS

MIAMI, 11 Jun- Menjelang sepak mula Piala Dunia Kelab, Inter Miami tampil sebagai tumpuan utama apabila skuad sarat bintang itu bakal membuka tirai kejohanan menentang Al Ahly di Stadium Hard Rock, Miami, Sabtu ini.

Menerusi gandingan nama-nama besar seperti Lionel Messi, pasukan milik David Beckham itu bukan sahaja membawa aura 'glamor' ke kejohanan, malah muncul antara pilihan untuk melangkah jauh dalam penampilan sulung mereka di pentas dunia.

Pasukan yang digelar ‘La Rosanegra’ itu melakar sejarah tersendiri selepas menjuarai MLS Supporters’ Shield 2024, kejayaan yang membuka laluan buat mereka ke Piala Dunia Kelab, hasil keputusan FIFA untuk memberikan slot khas kepada juara musim biasa liga tersebut.

Muncul juara Leagues Cup 2023 dan layak ke Piala Juara-Juara CONCACAF buat kali pertama, kesemua pencapaian itu hadir selepas ketibaan Messi yang menjadi pencetus kebangkitan kelab berpangkalan di Florida itu.

Pada sesi praperlawanan di Coral Gables, Florida Selasa lalu, pengendali Inter Miami Javier Mascherano dan jurulatih Al Ahly, Jose Riveiro, hadir dalam sidang media yang turut dihadiri Presiden FIFA, Gianni Infantino serta legenda Brazil, Ronaldinho.

Al Ahly, yang layak menerusi kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara CAF musim 2020–21, membawa reputasi selaku kelab paling berjaya di Afrika dan pastinya bukan lawan mudah buat Miami dalam aksi pembuka tirai Kumpulan A yang dijangka hangat.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE