fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kelab era baharu untuk bola sepak

Pemain Manchester City tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood sebelum Piala Dunia Kelab FIFA 2025 / Getty Images/AFP

MIAMI, 13 Jun- Piala Dunia Kelab yang dijadual bermula pada Ahad ini menandakan satu era baharu yang bersejarah untuk sukan bola sepak.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata kejohanan kali ini seakan-akan Piala Dunia pertama yang berlangsung pada tahun 1930.

Dalam sesi temu bual bersama AFP, Infantino turut mengkritik mereka yang mempersoalkan mengenai dasar penjualan tiket FIFA.

Beliau juga percaya pihak yang ragu-ragu mengenai kejohanan tersebut akan segera mengubah fikiran.

"Ia merupakan era baharu bola sepak, era baharu untuk kelab. Ia bagaikan Piala Dunia pertama pada tahun 1930. Yang diadakan buat pertama kali.

"Ketika ini semua orang bercakap mengenai Piala Dunia yang pertama. Oleh sebab itulah Piala Dunia Kelab ini juga merupakan satu sejarah," kata Infantino kepada AFP.

Piala Dunia Kelab 2025 melibatkan 32 pasukan dari seluruh benua, menyaksikan perlawanan pertama antara Inter Milan bertemu kelab Mesir, Al-Ahly di Stadium Hard Rock.

Sewaktu Piala Dunia pertama diadakan di Uruguay pada tahun 1930, hanya pasukan daripada Eropah dan Amerika Selatan mengambil bahagian.

Tambahnya, Piala Dunia Kelab akan memberi peluang kepada kelab dari luar kawasan yang kebiasaannya bermain bola sepak, beraksi di pentas antarabangsa.

"Kami mahu menjadi inklusif. Kami mahu menjadi memberi peluang kepada kelab di seluruh dunia.

"Ia benar-benar mahu menjadikan bola sepak global, untuk menjadikannya satu kenyataan," kata Infantino yang memaklumkan kejohanan itu turut menawarkan peluang kepada pemain dari lebih 80 negara.

"Negara yang tidak pernah bermain di Piala Dunia, kini tiba-tiba menjadi sebahagian dalam Piala Dunia." katanya. -AFP

MOHAMAD KHAIRIE KHALID