KUALA LUMPUR, 13 Jun- Malaysia gagal mara ke separuh akhir Kejuaraan Bola Sepak Wanita Bawah-19 (B-19) Piala AFF 2025 selepas dibelasah Indonesia, 0-4, hari ini.
Kekalahan di Stadium Ho Chi Minh City, Vietnam itu menyebabkan Malayan Tigress menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B selepas hanya mengutip tiga mata dalam tiga perlawanan.
Terdahulu, jaringan Indonesia ditemui seawal minit ke-9 menerusi Nasywa Salsabila sebelum Sydney Hopper menambah gol buat pasukan lawan pada minit ke-28.
Skuad negara kendalian Cameron Ng terus dihukum pada separuh masa kedua selepas Jezlyn Azkha dan Allya Afianti, masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-77 dan 80.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Thailand menewaskan Kemboja, 4-0 untuk mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan B.
Kemenangan itu turut menyaksikan Thailand dan Indonesia masing-masing mara ke pusingan separuh akhir.