fb fb fb fb fb

Ee Wei sudah mula dapat rentak bersama Tang Jie

Aksi beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada perlawanan separuh akhir Terbuka Indonesia 2025 di Istora Senayan Jakarta / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Jun- Pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei mengakui sudah mula mendapatkan rentak permainan bersama pasangannya Chen Tang Jie selepas kembali digandingkan pada April lepas.

Beliau berkata bagaimanapun masih banyak perkara yang perlu dilakukan bersama Tang Jie terutama dalam mengembalikan semula prestasi pada tahap terbaik seperti sebelum ini.

“Di Terbuka Singapura kami tidak beraksi dengan baik, tetapi kami cuba untuk kembali fokus di Terbuka Indonesia dan berjaya mara ke separuh akhir.

“Saya percaya kami mampu bangkit kembali secara beransur-ansur. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan dan kami perlu terus komited dalam latihan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Pada Mac, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan gandingan itu dipisahkan bagi memberi ruang kepada jurulatih mencuba kombinasi baharu susulan ketegangan dalam hubungan mereka.

Bagaimanapun Tang Jie-Ee Wei kembali digandingkan pada Piala Sudirman dan berjaya membantu Malaysia mara hingga ke suku akhir.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID