CINCINNATI, 22 Jun- Borussia Dortmund terus mengukuhkan kedudukan dalam saingan Piala Dunia Kelab selepas mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas juara Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns dalam aksi kumpulan F di Stadium TQL, awal pagi tad.
Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca terik itu menyaksikan Dortmund bangkit selepas ketinggalan seawal minit ke-11, sekali gus melonjak ke tangga teratas kumpulan dengan empat mata, satu mata mengatasi Sundowns.
Sundowns membuka tirai jaringan menerusi gerakan solo menarik Lucas Ribeiro Costa yang berjaya memecah pertahanan Dortmund sebelum meledak gol pembukaan mengejutkan.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila kesilapan mudah penjaga gol Ronwen Williams menghadiahkan bola kepada Felix Nmecha untuk menyamakan kedudukan lima minit kemudian.
Dortmund menambah dua lagi jaringan sebelum rehat, masing-masing menerusi tandukan bertenaga Serhou Guirassy hasil gerakan satu-dua dengan Julian Brandt, dan gol daripada Jobe Bellingham selepas hantaran silang Brandt ditepis terus ke arah beliau oleh Williams.
Masuk babak kedua, Sundowns hampir merapatkan jurang apabila Iqraam Rayners menggegar palang pada minit ke-55. Namun Dortmund terus melebarkan jurang menjadi 4-1 selepas hantaran lintang Daniel Svensson dari sebelah kiri terkena pertahanan Khuliso Mudau dan melantun masuk ke gawang sendiri.
Sundowns enggan mengalah dan dua minit selepas itu, Rayners menebus kegagalan awal dengan menanduk masuk bola pantulan selepas sepakan percuma Teboho Mokoena mengenai tiang dan kembali ke arah beliau.
Lebo Mothiba menambah satu lagi gol pada minit ke-90 selepas kesilapan Dortmund di kawasan sendiri, tetapi masa tidak cukup untuk mereka mencari gol penyamaan.-REUTERS