fb fb fb fb fb

Inter Milan bangkit saat akhir, singkir Urawa daripada saingan Piala Dunia Kelab

FOTO REUTERS

SEATTLE, 22 Jun- Inter Milan terpaksa menunggu hingga ke saat akhir sebelum berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas wakil Jepun, Urawa Red Diamonds dalam aksi Kumpulan E saingan Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.

Perlawanan di Lumen Field itu bermula dengan kejutan apabila Urawa terlebih dahulu membuka jaringan menerusi serangan balas pantas yang disudahkan Ryoma Watanabe pada minit ke-11 hasil peluang pertama mereka dalam perlawanan.

Urawa kemudiannya beraksi lebih bertahan, mempamerkan disiplin tinggi dalam mempertahankan kelebihan, menyebabkan Inter sukar untuk memecah kebuntuan. Peluang terbaik hadir menerusi Lautaro Martinez yang menanduk bola ke palang pada minit ke-19.

Namun kebuntuan akhirnya berjaya dipecahkan pada minit ke-78 apabila Lautaro Martinez meledak gol penyamaan menerusi jaringan akrobatik 'bicycle kick' yang disambut terus daripada sepakan penjuru Nicolo Barella.

Gol kemenangan dramatik hadir pada minit ke-92 hasil gerakan tersusun barisan pemain gantian Inter. Hantaran lintang Alessandro Bastoni disambut Petar Sucic yang percubaannya ditepis penjaga gol, namun bola muntah pantas disambar pemain muda Argentina, Valentin Carboni yang tenang menyudahkan ke penjuru gawang untuk mengesahkan kemenangan Nerazzurri.

Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Inter di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Christian Chivu.

Urawa pula sah tersingkir selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut, manakala Inter kini menerajui Kumpulan E sebelum pertembungan antara River Plate (Argentina) dan Monterrey (Mexico).-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE