MIAMI, 19 Jun – Ketua jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso, menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Al-Hilal dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Kelab pada Rabu sebagai satu proses pembelajaran penting buat pasukannya yang masih mencari rentak permainan di bawah kendaliannya.
Dalam sidang media selepas perlawanan sulungnya sebagai ketua jurulatih Real, Alonso mengakui anak buahnya bergelut pada separuh masa pertama, namun memuji persembahan positif yang ditampilkan selepas rehat.
"Ya, saya setuju. Separuh masa kedua jauh lebih baik berbanding separuh masa pertama.
"Dalam babak pertama, kami kekurangan banyak perkara, sama ada ketika menguasai bola, jelas Alonso.
"Kami kehilangan bola terlalu cepat dan tidak seimbang.
"Ini perkara yang telah kami bincangkan sebelum ini, dan pelaksanaannya mengambil masa. Tetapi ini adalah proses. Segalanya memerlukan masa", katanya.
Real Madrid turun tanpa beberapa pemain utama, termasuk Kylian Mbappe yang disahkan mengalami masalah kesihatan. Alonso memaklumkan keadaan penyerang Perancis itu masih belum pulih sepenuhnya.
“Kami tidak pasti (tentang ketersediaan Mbappe untuk perlawanan seterusnya).
"Dua hari lalu, dia tidak sihat dan sedang berdepan jangkitan virus yang agak ketara. Kita perlu tunggu dan lihat perkembangan hari demi hari,” katanya.
Dalam aksi menentang Al-Hilal yang berlangsung dalam cuaca panas terik di Hard Rock Stadium, Gonzalo Garcia membuka jaringan buat Real pada minit ke-34 sebelum Ruben Neves menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-41.
Real hampir meraih kemenangan di penghujung permainan selepas diberikan sepakan penalti, namun Federico Valverde gagal menyempurnakan peluang tersebut apabila sepakannya mudah diselamatkan oleh penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou.
Alonso turut menegaskan, walaupun tekanan kejohanan memerlukan keputusan segera, pembentukan identiti pasukan tidak boleh berlaku serta-merta.
“Kita berada dalam kejohanan dan perlukan keputusan, tetapi pada masa sama, kita mahu jadi sebagai satu pasukan juga memerlukan masa.
"Dalam separuh masa kedua, kami lebih baik dalam pengendalian bola, dan itu satu perkembangan positif,” tambahnya.
Real Madrid akan menentang wakil Mexico, Pachuca, dalam perlawanan kedua kumpulan pada Ahad ini, manakala Al-Hilal bakal menentang RB Salzburg dalam perlawanan yang dijangka menjadi penentu kelayakan ke pusingan seterusnya.-REUTERS.