KUALA LUMPUR, 13 November- Skuad hoki remaja negara bertekad untuk lebih berwaspada mendepani cabaran getir pasukan Eropah dalam saingan Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Tamil Nadu, India hujung bulan ini.
Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata Belanda, England dan Austria yang diundi bersama Malaysia dalam Kumpulan E merupakan ancaman awal yang perlu dilepasi berdasarkan prestasi mereka yang semakin meningkat naik dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
“Corak permainan dan keupayaan mereka memang berbeza. Kami fokus lebih kepada Belanda, tetapi Austria juga pasukan yang cukup baik dan seperti sudah bersedia untuk beraksi di tahap seterusnya.
“England pula diakui mantap dari segi taktikal. Semasa menentang England pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 bulan lepas, perlawanan tampak sengit dan inilah yang saya maksudkan dengan kelebihan taktikal pasukan Eropah yang perlu diawasi,” katanya pada sidang media pengumuman skuad negara ke Piala Dunia di sini hari ini.
Beliau berkata analisis video perlawanan masih giat dijalankan bagi memperkukuh aspek permainan ketika menentang pasukan terbabit selain mengingatkan skuad Young Tigers supaya mengurangkan kesilapan di atas padang.
Skuad remaja negara dijadual berlepas ke India bagi menjalani dua aksi pemanas badan masing-masing menentang Ireland (24 November) dan Namibia (25 November) sebagai persiapan terakhir sebelum kejohanan sebenar bermula pada 28 November hingga 10 Disember itu.