fb fb fb fb fb

Harimau Malaya fokus, pertahan misi tanpa kalah berdepan Nepal

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November- Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan semangat dan fokus pasukan kekal utuh menjelang aksi kelima Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini, biarpun dihimpit isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut pemain kelab Jepun, Cerezo Osaka itu, suasana dalam kem latihan skuad kebangsaan masih positif dan harmoni, dengan semua pemain memberi tumpuan penuh terhadap misi mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya rasa asas pasukan ini masih kukuh kerana sebahagian besar pemain dari kem sebelum ini, masih bersama. Jadi, kami kini memberi tumpuan penuh terhadap perlawanan menentang Nepal. Seperti yang saya katakan, matlamat utama kami adalah untuk layak ke Piala Asia dan setakat ini kami menunjukkan prestasi yang baik.

Kami mahu teruskan momentum itu kerana perlawanan pada Selasa sangat penting. Kami akan berusaha untuk menang dengan pasukan yang ada sekarang dan setakat ini, semuanya berjalan lancar,” kata Dion kepada pemberita, hari ini.

Tambah Cools, fokus utama pasukan kini adalah mengekalkan prestasi konsisten selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut, selain memastikan Malaysia layak ke pusingan seterusnya Piala Asia.

Malaysia kini menerajui Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata maksimum manakala Nepal, yang berada di ranking ke-180 dunia, bakal menjadi ujian seterusnya buat skuad kendalian Peter Cklamovski untuk meneruskan momentum kemenangan dan mengukuhkan kedudukan di peringkat Asia.

Sementara itu, isu membabitkan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masih dalam perhatian, selepas FIFA menolak rayuan mereka serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 3 November lalu.

Keputusan itu mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF 2,000 (RM10,411) kepada setiap pemain, sementara FAM dikenakan denda CHF 350,000 (RM1.8 juta).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM