MUNICH, 13 November- Pengeluar automotif Jerman, Audi pada Khamis memperkenalkan jentera Formula Satu (F1) pertama mereka dalam satu majlis pelancaran, yang turut disertai bekas pemenang perlumbaan F1 serta dua pelumba rasmi pasukan berkenaan bagi musim 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner berkata kemunculan Audi di arena F1 merupakan langkah penting dalam menegaskan komitmen syarikat terhadap inovasi teknologi dan kejuruteraan berprestasi tinggi.
“Detik kiraan bermula. Dalam masa 115 hari, 9 jam, 15 minit dan 30 saat, Audi akan berada di grid permulaan di Melbourne buat kali pertama. Pada 8 Mac, Audi akan menyertai puncak dunia sukan permotoran, di mana ketepatan, cita-cita dan teknologi termaju menjadi teras,” katanya.
Jentera itu menampilkan gabungan titanium, hitam karbon dan warna baharu dikenali sebagai Audi Red.
Logo empat cincin Audi turut diperkenalkan dalam warna merah khas bagi menyerlahkan identiti baharu pasukan tersebut.
Ketua Projek F1 Audi, Mattia Binotto berkata penglibatan Audi dalam F1 bukan sekadar membangunkan sebuah jentera, tetapi melambangkan perjalanan kemajuan dan pencapaian berterusan syarikat.
Menurut kenyataan di laman rasmi Audi, pasukan berkenaan akan membuat penampilan sulung pada musim 2026 sebagai pasukan kilang dengan sistem hibrid (power unit) dibangunkan sepenuhnya di Jerman.
Operasi pasukan itu berpusat di tiga lokasi utama iaitu Audi Formula Racing GmbH di Neuburg an der Donau bagi pembangunan unit kuasa manakala di Hinwil, Switzerland bagi pembangunan kereta lumba dan operasi perlumbaan serta Pejabat Teknologi di Bicester, United Kingdom yang terletak di tengah-tengah “Motorsport Valley”. -REUTERS