fb fb fb fb fb

Cardiff tuan rumah pembukaan Euro 2028, pentas akhir di Wembley

Foto REUTERS

LONDON, 13 November- Cardiff akan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Kejohanan Eropah 2028 (Euro 2028) pada 9 Jun manakala pentas akhir dijadual berlangsung di Stadium Wembley, London pada 9 Julai.

Menurut kenyataan penganjur kejohanan, UEFA pada Rabu, selain Cardiff, beberapa bandar lain turut dipilih sebagai venue perlawanan termasuk Birmingham, Dublin, Glasgow, Liverpool, Manchester dan Newcastle.

Secara keseluruhan, kejohanan itu akan menampilkan 51 perlawanan membabitkan 24 pasukan kebangsaan.

Euro 2028 akan dianjurkan bersama oleh England, Scotland, Wales dan Ireland, dengan sembilan venue di lapan bandar diumumkan secara rasmi dalam satu majlis pelancaran di London yang turut dihadiri Presiden UEFA, Aleksander Čeferin.

Majlis pelancaran yang berlangsung pada Rabu itu turut dikawal pihak polis susulan kehadiran sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang membantah penyertaan Israel dalam acara di bawah naungan UEFA.

Menurut penilaian bebas yang diumumkan UEFA, kejohanan Euro 2028 dijangka menjana manfaat sosioekonomi sebanyak 3.6 bilion pound (AS$4.83 bilion) bagi United Kingdom dan Ireland antara tahun 2028 hingga 2031.

Mei lalu, UEFA memaklumkan bahawa England, Ireland, Scotland dan Wales tetap akan menyertai pusingan kelayakan Euro 2028, namun hanya dua slot akan diperuntukkan secara automatik sekiranya mereka gagal melayakkan diri.

Sementara itu, Belfast dipilih sebagai tuan rumah bagi undian rasmi pusingan kelayakan Euro 2028 yang dijadual berlangsung di ibu negara Ireland Utara pada 6 Disember 2026.

Berdasarkan rekod, England menamatkan saingan Euro 2024 sebagai naib juara manakala Scotland tersingkir di peringkat kumpulan.

Wales dan Ireland pula gagal layak ke kejohanan yang berlangsung di Jerman tahun lalu. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM