KUALA LUMPUR, 13 November- Pemain pertahanan Harimau Malaya, Harith Haiqal Adam Afkar menyifatkan kehadiran penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin dalam kem latihan pasukan kebangsaan memberi suntikan semangat baharu menjelang pertemuan menentang Nepal dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, Selasa ini.
Pemain Selangor FC itu menyatakan, penyertaan semula Luqman mampu menambah variasi serangan skuad kendalian Peter Cklamovski selain meningkatkan persaingan sihat dalam kalangan pemain.
"Sejujurnya, saya gembira dengan kembalinya Luqman ke Liga Malaysia dan ke dalam pasukan kebangsaan. Sudah tentu, saya sangat gembira untuk beliau dan saya merasakan beliau mempunyai sesuatu yang boleh menambah nilai dalam pasukan ini."
"Selain kita sudah mempunyai Arif Aiman, kini kita juga ada Luqman Hakim. Jadi, saya berharap beliau akan mendapat peluang dan akan memberikan yang terbaik," kata Harith ketika ditemui di kem latihan pusat, di sini.
Kali terakhir Luqman menyarung jersi Harimau Malaya adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Dalam masa sama, Harith turut menyatakan kesediaannya jika diberi peluang diturunkan bersama Matthew Davies yang telah pulih daripada kecederaan.
Davies kali terakhir beraksi ketika Malaysia menumpaskan Vietnam 4-0 pada aksi keempat kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.
Tambah Harith, sesi latihan kali ini berjalan lancar dengan semua pemain menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan rentak kemenangan diteruskan.
Malaysia sebelum ini menewaskan Nepal 2-0 di Iskandar Puteri, Johor, Mac lalu dan kini kekal menerajui Kumpulan F dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan.
Hanya juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada Januari 2027.