KUALA LUMPUR, 13 November- Beregu utama wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila mara ke suku akhir Masters Kumamoto 2025 di Jepun, hari ini.
Pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Wilayah Kumamoto, pasangan pilihan utama itu tidak berdepan masalah menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-14, 21-9 dalam masa 31 minit.
Kemenangan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah mencatat kemenangan keempat berturut-turut ke atas pasangan ranking ke-20 dunia itu selepas empat pertemuan sebelum ini.
Beregu ranking kedua dunia itu akan berdepan sama ada pilihan ketujuh dari Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun atau gandingan tuan rumah, Nanako Hara-Riko Kiyose pada saingan suku akhir.
Sementara itu, hasrat pemain profesional lelaki negara, Jacky Kok untuk melangkah jauh tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain berpengalaman Jepun, Kenta Nishimoto 20-22, 11-21.
Dalam acara perseorangan wanita, wakil negara K. Letshanaa turut tersingkir selepas tewas 22-24, 18-21 kepada pemain Taiwan, Chiu Pin-Chian.
Bagi acara beregu campuran, pasangan Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin turut terkandas di pusingan kedua apabila tumbang kepada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran 21-14, 12-21, 17-21.