KUALA LUMPUR, 2 Februari- Jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan, Rodhanizam Mat Radzi berharap skuad bimbingannya mampu mencipta keputusan terbaik apabila memulakan kempen Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia, esok.
Beliau berkata, skuad negara sebelum ini telah menjalani beberapa aksi pemanas badan dan ia menjadi bekalan terbaik buat pemain sebelum memulakan aksi Kumpulan B berdepan juara dunia tiga kali, Jerman.
“Semua pemain bebas kecederaan, semangat pasukan berada pada tahap yang tinggi. Untuk pasukan kita, harapan kami agar setiap pemain dapat menyesuaikan diri dengan perlawanan di sini, termasuk mengatasi cabaran cuaca, memandangkan ini adalah kali pertama kita melayakkan diri ke Piala Dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.
Rodzhanizam turut berharap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada skuad negara sepanjang kempen Piala Dunia yang bermula esok hingga 9 Februari ini.
Selain Jerman, pasukan negara akan berdepan Argentina pada 4 Februari dan Iran 6 Februari.