ZURICH, 7 Mac- Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini sedang meneliti cadangan menambah jumlah penyertaan dalam Piala Dunia 2030 kepada 64 pasukan.
Ia sebagai langkah khas sempena meraikan ulang tahun ke-100 kejohanan itu.
Piala Dunia 2030 bakal berlangsung di Sepanyol, Maghribi dan Portugal.
Sementara itu, Argentina, Paraguay dan Uruguay masing-masing diberikan satu perlawanan sebagai simbolik memperingati edisi sulung kejohanan yang berlangsung di Uruguay pada 1930.
Format kejohanan yang merangkumi tiga benua itu sudah pun dianggap sangat kompleks, baik dari segi logistik mahupun nilai kompetitif.
Namun, Presiden FIFA, Gianni Infantino berjanji untuk meneliti secara mendalam cadangan pertambahan 16 pasukan lagi.
Ketika ini, Piala Dunia sudah pun diperluaskan daripada 32 ke 48 pasukan bagi edisi 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.