fb fb fb fb fb

Mahkamah tolak permohonan UEFA gugurkan saman penyokong Liverpool

Foto Reuters

LONDON, 7 Mac – Badan induk bola sepak Eropah, UEFA, gagal dalam usaha untuk menggugurkan saman yang dikemukakan oleh ratusan penyokong Liverpool yang menghadiri perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022 di Paris atas dakwaan kecederaan peribadi akibat kekecohan di luar stadium.

Kes terhadap UEFA dan UEFA Events, yang difailkan pada 2023, dibuat susulan kekacauan di luar Stade de France sebelum perlawanan bermula, menyebabkan perlawanan itu ditangguhkan lebih 30 minit.

Polis Perancis dirakam menggunakan gas pemedih mata terhadap penyokong, yang mengadu dilayan dengan kasar serta dihalau ke dalam kawasan berpagar di luar stadium.

Satu kajian bebas mengenai insiden tersebut mendapati UEFA bertanggungjawab terhadap “banyak kejadian hampir membawa bencana” sebelum perlawanan akhir yang menyaksikan Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0.

UEFA telah mencapai penyelesaian dengan sekumpulan penyokong Liverpool tahun lalu, namun satu kes berasingan yang melibatkan kira-kira 800 penyokong lain diteruskan di Mahkamah Tinggi.

UEFA menafikan liabiliti dan peguamnya berhujah dalam sesi pendengaran pada Julai lalu agar kes itu digugurkan, namun permohonan mereka ditolak pada Jumaat.

Jill Paterson, salah seorang peguam pihak plaintif dari firma guaman Leigh Day, menyifatkan keputusan itu sebagai kejayaan bagi penyokong Liverpool dalam tuntutan mereka terhadap UEFA.

“Ini adalah keputusan undang-undang penting bagi penyokong Liverpool dalam perjuangan mereka menuntut keadilan terhadap UEFA. UEFA kini perlu menjawab tuntutan mereka di mahkamah England. Semua penyokong bola sepak harus dapat menghadiri perlawanan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

UEFA masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen berhubung keputusan mahkamah itu.

Badan induk bola sepak Eropah itu sebelum ini menyalahkan penyokong kelab Merseyside berkenaan atas kekecohan yang berlaku sebelum akhirnya mengemukakan permohonan maaf susulan laporan kajian bebas dikeluarkan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN