ALOR SETAR, 8 Mac- Nasib malang terus menimpa bekas juara double treble, Kedah Darul Aman (KDA) FC, selepas tunduk 2-3 di tangan KL City FC dalam aksi sengit Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Beraksi tanpa beberapa tonggak utama akibat kecederaan dan dibayangi isu tunggakan gaji yang belum menemui penyelesaian, KDA FC dilihat bergelut untuk menemui rentak permainan mereka.
Sebaliknya, KL City FC tampil lebih bertenaga dengan siri serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah.
Namun, sorakan bergema di Stadium Darul Aman apabila Milos Gordic membuka tirai jaringan buat KDA FC pada minit ke-25, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama. Ketika babak pertama hampir melabuhkan tirai, Paulo Josue memanfaatkan peluang menerusi tandukan tajam, menewaskan penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Che Kassim, untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
Memasuki babak kedua, KL City FC terus mengasak dan hasilnya Paulo sekali lagi mencuri tumpuan dengan jaringan kedua pada minit ke-62, memberikan pelawat kelebihan 2-1.
Tidak berputus asa, KDA FC bangkit hanya tiga minit kemudian apabila Fadzrul Danel meledak gol penyamaan, menghidupkan semula harapan skuad Hijau Kuning.
Namun, ketika perlawanan seakan menuju keputusan seri, Sean Gan Giannelli muncul wira KL City FC dengan jaringan dramatik pada minit ke-86, memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan pelawat.
Keputusan akhir di Alor Setar, KDA FC 2, KL City FC 3.