fb fb fb fb fb

Azeem Fahmi sedia rebut gelaran raja pecut Asia Tenggara

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi/Foto Fail

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dijangka bertanding di temasya Sukan SEA Thailand pada Disember ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard.

Jelas beliau, selain temasya dwitahunan, atlet berusia 20 tahun itu juga akan menyertai beberapa kejohanan seperti Sukan Universiti Dunia di Jerman pada Julai dan Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada September.

Muhammad Azeem memulakan musim ini dengan cemerlang apabila mencatat rekod baharu kebangsaan bagi acara 60 meter dalam dewan dengan catatan 6.56 saat untuk pingat gangsa pada Kejohanan SEC Indoor Track and Field 2025, Ahad lepas.

Pencapaian itu melayakkan beliau menyertai Kejohanan NCAA di Amerika Syarikat pada 14 hingga 15 Mac ini.

Muhammad Azeem membuat penampilan pertama pada Sukan SEA 2021 di Vietnam namun tidak menyertai Sukan SEA 2023 di Kemboja bagi memberi tumpuan kepada latihan dan pertandingan di Amerika Syarikat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM