fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2026: New Zealand layak buat kali ketiga

Pasukan New Zealand meraikan kemenangan mereka selepas perlawanan akhir kumpulan kelayakan FIFA Piala Dunia 2026 Zon Oceania antara New Zealand dan New Caledonia di Stadium Eden Park Auckland / Foto AFP

AUCKLAND, 24 Mac-New Zealand berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga selepas menewaskan New Caledonia 3-0 pada Isnin.

Kemenangan berkenaan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila kehilangan penyerang meningkat naik Nottingham Forest Chris Wood, akibat kecederaan.

The All Whites menyertai pasukan yang sudah layak seperti Jepun serta tuan rumah bersama iaitu Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico ke kejohanan tahun depan hasil daripada tiga gol pada separuh masa kedua.

Selepas separuh masa kedua bermula di Eden Park, Wood mengalami kecederaan ketika cuba melepaskan rembatan dan terpaksa menerima rawatan sebelum dikeluarkan pada minit ke-54.

"Ia bukan berita baik bagi kami kerana kehilangan kapten dan penjaring utama.

"Ia sesuatu yang sukar untuk pasukan, tetapi mereka berjaya menghadapinya dengan baik," kata jurulatih New Zealand dari England, Darren Bazeley.

Pasukan tuan rumah kelihatan buntu selepas menguasai separuh masa pertama, namun pertahanan veteran, Michael Boxall muncul pada minit ke-61 untuk menanduk masuk gol pembukaan menerusi sepakan sudut – gol pertamanya untuk negara.

Lima minit kemudian, pemain gantian Kosta Barbarouses menjaringkan gol kedua dengan menchip bola melepasi penjaga gol New Caledonia, Rocky Nyikeine.

Pemain gantian Eli Just menambah satu lagi gol dari jarak dekat pada 10 minit terakhir untuk melengkapkan kemenangan bergaya.

Harapan New Caledonia untuk ke Piala Dunia belum berakhir kerana mereka akan beraksi dalam perlawanan playoff antara benua.

Piala Dunia 2026 telah diperluaskan kepada 48 pasukan, yang membolehkan juara kelayakan Oceania layak secara langsung buat kali pertama.

Sebelum ini, pasukan terbaik dari rantau Oceania perlu melalui perlawanan playoff antara benua, dengan New Zealand pernah gagal di peringkat akhir kepada Mexico, Costa Rica, dan Peru dalam edisi terdahulu.

New Zealand sebelum ini pernah beraksi di Piala Dunia pada tahun 1982 dan 2010, namun masih belum memenangi sebarang perlawanan dalam enam perlawanan yang mereka lalui.

"Sebaik sahaja format Piala Dunia diperluaskan, kami sudah menjangkakan perkara ini," kata Boxall.

"Namun, ia bukan sekadar tentang layak ke Piala Dunia, tetapi apa yang akan kami lakukan di sana."

Berhadapan pasukan yang berada di ranking ke-152 dunia, New Zealand terus menguasai permainan dari awal.

New Caledonia, sebuah wilayah Perancis di Pasifik yang mempunyai kira-kira 300,000 penduduk dan tidak pernah layak ke Piala Dunia, berjaya melakukan dua halangan di atas garisan gol dalam tempoh 20 minit pertama.

Wood, yang sedang menikmati musim cemerlang bersama Forest dengan 18 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, mendapat peluang pada minit ke-32 tetapi Nyikeine menyelamatkan dengan mudah.

Pemain berusia 33 tahun itu kemudian menanduk bola melepasi palang menerusi sepakan sudut, dan ketika wisel separuh masa dibunyikan.

Jurulatih new Zealand, Bazeley membuat dua pertukaran pada waktu rehat, memasukkan pemain sayap Just dan pertahanan Francis de Vries.

Walaupun kehilangan pemain utama Wood, tekanan berterusan New Zealand akhirnya membuahkan hasil apabila mereka memanfaatkan kepenatan pemain New Caledonia, sekali gus mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD