fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2026 bakal tampil persembahan separuh masa ala Super Bowl

Anggota kumpulan Coldplay, Chris Martin (kiri) dan pengarah kreatif, Phil Harvey, akan bertanggungjawab memilih artis yang akan membuat persembahan itu kelak

PARIS, 6 Mac- Aksi Piala Dunia 2026 bakal mencipta sejarah apabila perlawanan akhir di New Jersey akan menampilkan persembahan separuh masa ala Super Bowl, menurut Presiden FIFA, Gianni Infantino, pada Rabu.

Infantino mengesahkan bahawa anggota kumpulan Coldplay, Chris Martin dan Phil Harvey, akan bertanggungjawab memilih artis yang akan membuat persembahan tersebut.

"Saya boleh sahkan bahawa ini adalah persembahan separuh masa pertama dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia FIFA di New York/New Jersey," kata Infantino menerusi Instagram.

"Ia akan menjadi detik bersejarah untuk Piala Dunia FIFA dan satu persembahan yang sepadan dengan acara sukan terbesar di dunia."

Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat bersama rakan kongsi komersial dan media FIFA di Dallas menjelang kejohanan 2026, yang bakal dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Namun, Infantino tidak mendedahkan maklumat lanjut berkenaan butiran khusus atau tempoh persembahan separuh masa itu.

Langkah berkenaan dilihat meniru konsep yang diperkenalkan pada perlawanan akhir Copa America tahun lalu di Miami, di mana bintang Colombia, Shakira, membuat persembahan separuh masa di Stadium Hard Rock.

Infantino turut mendedahkan bahawa FIFA merancang untuk "menguasai" Times Square, New York, sepanjang hujung minggu perlawanan akhir kejohanan itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE