fb fb fb fb fb

Legenda tenis Australia, Fred Stolle meninggal dunia

Fred Stolle (kiri) bersama Bjorn Borg (tengah) dan Rod Laver (kanan) / AFP

SYDNEY, 6 Mac- Juara Grand Slam 19 kali dan legenda pengulas tenis, Fred Stolle, meninggal dunia pada usia 86 tahun, pada Khamis.

Stolle memenangi Terbuka Perancis pada 1965 dan Terbuka AS setahun kemudian, selain tiga kali menjadi finalis Wimbledon.

Namun, kejayaan terbesarnya adalah dalam acara beregu, di mana beliau merangkul 17 gelaran Grand Slam, termasuk memenangi kesemua empat kejohanan utama lelaki sekurang-kurangnya dua kali.

Selepas bersara, Stolle menjadi penyiar terkemuka yang dikenali sebagai "suara tenis" melalui rangkaian Nine Network di Australia serta Fox Sports dan ESPN di Amerika Syarikat.

Ketua Tennis Australia, Craig Tiley, menyifatkan Stolle sebagai figura ikonik di Australia dan pentas antarabangsa.

"Apabila kita bercakap tentang era kegemilangan Australia dan peralihan daripada amatur ke profesionalisme, nama Stolle sentiasa sebaris dengan yang terbaik," katanya.

"Sebagai bintang pasukan Piala Davis Australia, Fred memberikan sumbangan besar kepada sukan ini selepas kerjaya gemilangnya, baik sebagai jurulatih mahupun pengulas yang tajam pandangannya.

"Legasinya adalah tentang kecemerlangan, dedikasi, dan kecintaannya terhadap tenis. Pengaruhnya dalam sukan ini akan terus dikenang dan dihargai oleh semua yang berpeluang menyaksikan sumbangannya."

Stolle merupakan sebahagian daripada pasukan Piala Davis Australia yang meraih kemenangan tiga kali berturut-turut (1964-66) dan pernah menjadi jurulatih kepada Vitas Gerulaitis, pemain Amerika yang memenangi Terbuka Australia 1977.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE