JOHOR BAHRU, 7 Mac- Johor akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk lebih 20,000 pengunjung Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, bersempena dengan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), pada 11 Mac ini.
Aksi timbal balik pusingan 16, membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Buriram United dijangka meriah, dengan tiket untuk tuan rumah habis dijual.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sekitar 80 periuk bubur lambuk akan disediakan untuk pengunjung.
"Hidangan sampingan seperti mi kawah, kurma, dan air mineral turut disajikan.
"Usaha dibuat demi menjamin kebajikan pengunjung Muslim, sekali gus memberikan sokongan padu buat wakil negara di pentas berprestij tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Bazar Ramadan Plaza Angsana, Johor Bahru.