PARIS, 6 Mac-Pengendali Liverpool, Arne Slot, mengakui pasukannya sangat bernasib baik selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Jelas pengendali dari Belanda itu, keputusan seri juga sepatutnya memadai buat anak-nak buahnya.
Pada perlawanan berkenaan, PSG mendominasi perlawanan dengan 28 percubaan ke arah gawang, termasuk jaringan Khvicha Kvaratskhelia yang dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-20.
Bagaimanapun, penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, tampil cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya sebelum pemain gantian, Harvey Elliott, muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-87 hasil umpanan Darwin Nunez.
Slot tidak menyembunyikan rasa kagumnya terhadap Elliott, yang masuk menggantikan Mohamed Salah sebelum meledak gol kemenangan dengan sentuhan pertamanya.
"Itu adalah saat-saat penting untuknya. Saya faham dia kadang-kadang kecewa dengan masa permainan yang terhad, tetapi dia terus bekerja keras," kata Slot mengenai pemain berusia 21 tahun itu, yang kini mencetak gol dalam tiga perlawanan Liga Juara berturut-turut.
Slot turut memuji impak Darwin Nunez yang mencipta bantuan gol buat Elliott, selepas melalui dua aksi sukar sebelum ini.
"Ketika dia dibawa masuk, kami (Liverpool) lebih berbahaya," tambah Slot.
Sementara itu, jurulatih PSG, Luis Enrique, menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang sukar diterima selepas pasukannya mendominasi permainan sepanjang 90 minit.
"Kami jauh lebih baik berbanding Liverpool dari segi permainan dan peluang yang dicipta," kata Enrique.
"Menentang pasukan terbaik liga mereka dan salah satu yang terbaik di Eropah, kami tampil dengan aksi sempurna, bertahan dengan baik, mengambil risiko, dan jelas layak mendapat keputusan yang lebih baik.
Tetapi inilah bola sepak, ia sering kali tidak adil", katanya.
Enrique bagaimanapun masih yakin PSG mampu bangkit dalam perlawanan timbal balik di Anfield minggu depan.
"Kami tiada apa untuk kalah. Hari ini kami sepatutnya mendapat lebih banyak.
Pemain terbaik mereka adalah penjaga gol, itu sudah cukup menunjukkan bagaimana perlawanan berlangsung," katanya.-AFP.