fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2022: Les Blues atasi The Eagles, bakal bertemu The Three Lions

(FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 5 Disember- Dua gol daripada Kylian Mbappe membantu Perancis ke suku akhir Piala Dunia.

Bintang Paris Saint-Germain, Mbappe menyempurnakan dua jaringan pada separuh masa kedua ketika Perancis menang 3-1 ke atas Poland.

Terdahulu, penyerang veteran Olivier Giroud membuka jaringan dengan gol antarabangsa ke-52nya untuk melepasi Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Sementara itu, England mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas juara Afrika Senegal, gol-gol terhasil daripada Jordan Henderson, Harry Kane dan Bukayo Saka.

Ini bermakna Perancis dan England akan bertemu satu sama lain pada Sabtu dalam pertembungan suku akhir yang disifatkan sebagai 'heavyweight'.

Ia bakal menjadi pertemuan ketiga mereka di Piala Dunia selepas perlawanan akhir 1966 dan 1982.

Bintang Perancis yang tidak dapat dipertikaikan ketika aksi di Stadium Al Thumama ialah Mbappe 23 tahun, yang kini mengumpul sembilan jaringan dalam dua edisi Piala Dunia.

“Ia tidak mudah kerana Poland telah diatur dengan baik dan cuba menentang kami,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Kemudian ada Kylian dengan keupayaannya untuk menyelesaikan pelbagai masalah, dan itu juga baik untuk kami.

"Pasukan ini telah bersatu sejak awal dan jelas keputusan seperti ini membuktikan kerja keras kami. Kegembiraan dikongsi semua orang."

Gol tunggal Poland disumbang Robert Lewandowski yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Perancis membida untuk menjadi pasukan pertama memenangi Piala Dunia berturut-turut sejak Brazil pada 1958 dan 1962 selepas memenangi Kumpulan D di Qatar.

Dengan Mbappe dalam prestasi yang cemerlang, banyak pasukan yang mahu mengelak untuk berjumpa Les Blues yang kini dalam usaha untuk merebut mahkota Piala Dunia ketiga selepas melakukannya pada 1998 dan 2018.- AFP


(FOTO IHSAN FIFA)

Media Baharu