fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2022: Brazil dedikasi kemaraan ke suku akhir kepada Pele

(FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 6 Disember- Pemain-pemain Brazil mendedikasikan kemenangan 4-1 mereka ke atas Korea Selatan kepada pemain legenda, Pele yang kini sedang dirawat di sebuah hospital di Sao Paulo.

Selepas perlawanan pusingan 16 terakhir lewat pagi tadi di Stadium 974 di Doha, para pemain membentangkan sepanduk besar memaparkan imej pemain berusia 82 tahun itu, yang dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman.

Gol separuh masa pertama daripada Vinicius Junior, Neymar, Richarlison dan Lucas Paqueta menyaksikan Brazil selesa menguasai permainan sebelum Korea Selatan meledak gol saguhati menakjubkan daripada Paik Seung-ho pada babak kedua.

“Sukar untuk bercakap tentang apa yang sedang dialami Pele sekarang tetapi saya mendoakan yang terbaik untuknya,” kata Neymar, yang kembali daripada kecederaan buku lali untuk beraksi menentang Taegeuk Warriors.

“Saya harap dia akan kembali sihat secepat mungkin dan kami sekurang-kurangnya dapat menghiburkannya dengan kemenangan ini,” kata Neymar kepada Globo.

Pele bergelut dengan kanser kolon menjadi motivasi kepada pemain-pemain A Selecao untuk cuba memenangi gelaran dunia keenam.

Pemain bergelar 'Black Pearl' itu, yang melakukan penampilan pertama buat pasukan kebangsaan Brazil pada 1957, beraksi dalam empat Piala Dunia FIFA, memenangi tiga daripadanya.

Dalam 14 perlawanan dia bermain untuk Brazil pada Piala Dunia, Pele menjaringkan 12 gol, yang meletakkannya di tangga kelima senarai penjaring gol terbanyak.

“Dia memerlukan banyak kekuatan daripada kami dan kemenangan ini untuknya, supaya dia boleh keluar daripada situasi ini dan kami boleh menjadi juara untuknya,” kata Vinicius. 

Penyokong di stadium turut tidak ketinggalan membentangkan kain sepanduk gergasi memaparkan imej wajah Pele bagi memberi penghormatan kepada legenda bola sepak itu ketika aksi Brazil menentang Korea Selatan.-AFP


(FOTO IHSAN FIFA)

Media Baharu