fb fb fb fb fb

Kebangkitan wakil Asia terhenti, Brazil dan Croatia layak ke suku akhir

FOTO AFP

DOHA, 6 Disember- Pasukan Croatia dan Brazil berjaya meneruskan saingan ke pusingan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022.

Ia selepas kedua pasukan tersebut menewaskan wakil negara Asia, Jepun dan Korea Selatan pada pusingan ke-16 awal pagi tadi.

Buat pertama kali dalam edisi Piala Dunia tahun ini, pasukan Croatia menamatkan saingan menerusi penentuan sepakan penalti selepas mencatatkan jaringan 1-1 sehingga minit ke-120.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu menyaksikan Daizen Maeda dan Ivan Perisic menjadi penyelamat pasukan sebelum ke babak penentuan.

Pada aksi penalti itu, pemain AS Monaco, Takumi Minamino gagal menyempurnakan sepakan tersebut sebaliknya penjaga gawang Croatia, Dominik Livakovic pula cemerlang menampan tiga percubaan Jepun.

Croatia layak ke pusingan suku akhir selepas menang penalti, 1-3.


(FOTO AFP)

Sementara itu, Brazil membenam Korea Selatan pada aksi pagi tadi dengan jaringan 4-1.

Kelibat tonggak utama skuad kendalian Tite, Neymar Jr, dilihat turun membantu pasukan dalam misi kali ini meski baru sembuh daripada kecederaan buku lali.

Tirai jaringan dibuka seawal minit ke-7 menerusi pemain sayap, Vinicius Jr disusuli Neymar pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti akibat kekasaran Woo-young Jung terhadap Richarlison.

Richarlison dan Lucas Paqueta terus menambah derita Korea Selatan dengan dua lagi jaringan sebelum tamat babak pertama.

Korea yang akur dengan taktikal 'samba' Brazil itu hanya berjaya memanfaatkan satu jaringan menerusi pemain gantian, Paik Seung-ho pada minit ke-76.

Keputusan ini menyaksikan kebangkitan pasukan wakil Asia tamat setakat pusingan ke-16.

Brazil dan Croatia akan berentap di Stadium Education City pada 9 Disember ini untuk layak ke pusingan separuh akhir Piala Dunia.

Media Baharu