fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2022: Paulo Bento ucap 'Annyeonghi Gaseyo'

(FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 6 Disember- Pengendali Korea Selatan, Paulo Bento mengumumkan dia tidak akan kekal sebagai jurulatih Taegeuk Warriors selepas mereka tersingkir daripada Piala Dunia dengan kekalahan 1-4 di tangan Brazil pada Isnin.

"Sekarang saya perlu memikirkan masa depan, tetapi saya tidak akan bersama pasukan Korea. Saya akan berehat dan kemudian fikir apa yang perlu saya lakukan seterusnya," kata bekas jurulatih Portugal berusia 53 tahun itu selepas tewas dalam pusingan 16 terakhir.

“Saya baru memberitahu pemain dan Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan.

"Ini adalah keputusan yang saya ambil pada September. Ia telah ditetapkan dan hari ini saya mengesahkannya. Saya perlu berterima kasih kepada mereka dan saya amat berbangga menjadi pengurus mereka."

Bento mengambil alih tugas selaku jurulatih selepas Piala Dunia 2018, menggantikan Shin Tae-yong.

Di Qatar, dia membawa Korea Selatan ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2010 dengan kemenangan terakhir ke atas Portugal dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka.

Bagaimanapun, Korea Selatan dikalahkan Brazil, selepas ketinggalan empat gol sebelum separuh masa di Stadium Doha 974, walaupun mereka mencuri satu gol lewat menerusi pemain gantian Paik Seung-ho.

“Saya percaya kami boleh berbangga dengan apa yang telah kami lakukan pada Piala Dunia ini, dan apa yang telah kami lakukan sejak empat tahun lalu untuk sampai ke sini,” kata Bento, yang pernah melatih negara asalnya pada kejohanan 2014 di Brazil.

Pasukan Korea yang diketuai oleh Son Heung-min tiba ke Qatar dengan menduduki tempat kedua dalam kumpulan kelayakan di belakang Iran tetapi mereka tersingkir dari peringkat 16 terakhir bermakna mereka masih belum pernah memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia di luar negara asal mereka.

"Saya fikir kami bermain dengan sangat baik di peringkat kumpulan walaupun saya rasa kami boleh mengutip lebih banyak mata kerana kami sepatutnya menewaskan Ghana," kata Bento.

"Tetapi saya rasa kami boleh berbangga dan saya bangga dengan apa yang telah kami lakukan sejak empat tahun lalu."

Dia menambah: "Ini sudah pasti salah satu kumpulan pemain terbaik yang saya ada peluang untuk bekerjasama." -AFP


(FOTO IHSAN FIFA)

Media Baharu