fb fb fb fb fb

Piala BJK: Itali sahkan slot separuh akhir, selepas atasi China

Foto Reuters

SHENZHEN, 17 September- Juara bertahan, Itali mara ke separuh akhir Piala Billie Jean King selepas menewaskan tuan rumah, China 2-0, hasil kemenangan dramatik Jasmine Paolini dan Elisabetta Cocciaretto pada Selasa.

Dalam perlawanan pembukaan, Cocciaretto bangkit penuh semangat untuk menewaskan Yuan Yue 4-6, 7-5, 7-5, selepas ketinggalan satu set, 2-5 pada set kedua, malah 0-4 pada set penentuan.

Kemenangan itu menghadiahkan mata sulung buat Itali dalam aksi yang memakan masa hampir tiga jam.

Paolini, pemain nombor lapan dunia, pula memastikan kemenangan pasukannya selepas mengatasi Wang Xinyu 4-6, 7-6(4), 6-4.

Paolini hampir tersingkir apabila ketinggalan 3-5 pada set kedua, namun berjaya mematahkan servis lawan sebelum mendominasi tie-break dan menahan kebangkitan Wang pada set ketiga untuk mengesahkan kemenangan.

Itali seterusnya akan berdepan pemenang aksi suku akhir antara juara lima kali, Sepanyol dan Ukraine, pada Rabu. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM