fb fb fb fb fb

Piala Asia B-23 :Skuad Harimau Muda tutup kempen tanpa kemenangan

Foto FB FAM

DOHA, 24 April-Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara menutup kempen tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Kuwait pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido  menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata susulan tewas di tangan Uzbekistan dan Vietnam dalam dua aksi pertama.

Pada aksi itu, skuad Harimau Muda terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah susulan mengasari kapten Kuwait, Salman Mohammed di luar kotak penalti.

Malaysia ketinggalan menerusi penalti yang disempurnakan Salman selepas Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dipersalahkan kerana mengasari Talal Al Qaisi.

Skuad kendalian Garrido semakin tertekan apabila Kuwait menambah jaringan menerusi tandukan Talal pada minit ke-60 perlawanan.

Malaysia akhirnya membuka akaun gol menerusi penyerang Haqimi Azim Rosli hasil rembatan deras pada minit 63 untuk kedudukan 2-1.

Kedudukan kekal 2-1 berpihak Kuwait sehingga wisel penamat sekali gus membolehkan anak buah Peixe memintas Malaysia di kedudukan ketiga Kumpulan D.

Dalam pada itu, Uzbekistan melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D apabila menewaskan Vietnam 3-0 pada satu lagi aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD